Assalamualaikum Ustaz,
1) Apakah hukum mengenainya Insuran Hayat/Nyawa?
2)Insuran nyawa secara Islam(Takaful), bagaimanakah ianya dijalankan?
Assalamualaikum,
Ustaz,
1) Saya mempunyai kemuskilan mengenai bab insuran nyawa secara islam(Takaful).
Apakah pandangan Ustaz, berkenaan dengan lnsuran nyawa dari sudut kaca mata Islam? Apakah
kaedah yang dipakai bagi menghalalkannya?
2)Apakah pandangan Ustaz, mengenai ASB dan ASN.
--------------------------------------------------------------------
Jawab
1. Perbahasan Hukum Insuran Nyawa (Life Assurance):
Islam tidak menolak konsep insurans. Secara am
insuran ditakrifkan sebagai satu pakatan oleh sekumpulan ahli untuk mewujudkan
satu tabung atau dana kewangan bersama yang khusus bagi tujuan membantu ahli
ketika ditimpa musibah. Amalan seumpama ini selaras dengan tuntutan Islam. Kerjasama,
saling bantu membantu dan prihatin kepada golongan yang memerlukan bantuan
kerana seperti yang tersirat dalam konsep insuran adalah selari dengan tuntutan
Islam, sebagaimana maksud hadis yang berbunyi:
"Sesungguhnya seseorang yang beriman
ialah sesiapa yang boleh memberi keselamatan dan perlindungan terhadap harta
dan jiwa raga manusia' (Riwayat Ibnu Majah).
Konsep insuran sudah lama dipraktikkan. Dalam
zaman Jahiliyyah ia adalah antara beberapa bentuk amalan kerjasama dikalangan
puak atau suku kaum Arab sebagai strategi mambantu sesame mereka apabila ada
anggota atau ahli yang menanggung kesusahan, seperti pembunuhan, penculikan,
rompakan dan sebagainya. Malahan kini diperakui bahawa insuran telah berkembang
daripada amalan Islam. Walaubagaimanapun ulama umumnya sepakat bahawa operasi insuran
dalam bentuknya sekarang tidak menepati hukum syarak. Jika konsep insuran
diterima Islam, mengapa pula operasi seperti yang ada dalam pelbagai jenis
polisi yang disediakan oleh syarikat insuran sekarang didiapati bercanggah
dengan kehendak syarak.
Misalnya, Jawatankuasa Fatwa , Majlis Hal Ehwal
Agama Islam Kebangsaan, dalam mesyuarat pada 15 Jun 1972, memutuskan bahawa
insuran nyawa sebagaimana dijalankan oleh syarikat insuran yang ada pada hari
ini adalah suatu muamalat yang fasid kerana tidak sesuai dengan prinsip Islam
dari segi aqadnya, kerana mengandungi unsur yang tidak Islamik; yang mana
hukumnya menurut Islam adalah HARAM. Selain itu, Akademi Feqah Islam (Majmak
Fiqh) yang mana anggotanya terdiri daripada ulama' dari seluruh dunia Islam termasuk
Malaysia dan diasaskan dibawah Persidangan Pertubuhan Negara-negara Islam
(OIC), dalam mesyuaratnya di Jeddah pada 22-28 Disember 1995 memutuskan selepas
mengkaji semua jenis dan bentuk insurans, bahawa kontrak perniagaan insurans
yang disediakan oleh syarikat insurans mengandungi unsur yang membawa kepada
fasid. Yang demikian,menurut Majmak Fiqh, ia HARAM disisi syarak.
Daripada kedua-dua keputusan, ini jelas
menunjukkan ulama' sependapat bahawa kedua-dua jenis perniagaan insurans nyawa
dan am adalah tidak menepati landasan syariah. Mengapa pula ulama' memutuskan
perniagaan insurans yang disediakan oleh syarikat insurans sekarang tidak
menepati hukum syarak ialah kerana polisi insurans adalah kontrak atau akad
jual beli, Di bawah urusan transaksinya, pembeli yang dipanggil pemegang polisi
dikehendaki membayar wang premium sebagai harga kepada syarikat insurans yang
menjual polisi insurans yang menyediakan faedah perlindungan sama ada untuk
diri (nyawa) atau harta benda pemegang polisi itu sendiri. Jual beli dalam
Islam mempunyai rukun tertentu.Sekiranya salah satu rukun itu tidak dipenuhi,
maka akad jual beli dikira tidak sempurna dan boleh membatalkan akad tersebut.
Dalam kontrak jual beli insurans, salah satu
rukun yang tidak sempurna ialah yang berkaitan dengan ma'qudalaih (apa yang
diakadkan). Perkara atau apa yang diakadkan, yang dibeli atau dijual, mestilah
jelas dan tidak mengadungi unsur 'gharar'. Jika rukun ini tidak dipenuhi, maka
akad jual menjadi cacat. Gharar dilarang oleh Rasulullah SAW mengikut sabda
baginda yang bermaksud:
"Rasulullah SAW melarang jual beli secara
baling batu da njual beli gharar (Riwayat Muslim).
Sehubungan itu, ulama' menjelaskan gharar dalam
salah satu daripada daripada tiga sebab berikut;
I. Tiada barang yang dijual beli (akad jual beli
tanpa barang).
2. Ada
barang tetapi tidak boleh diserah kepada pembeli, dan
3. Ada
barang dan ia boleh diserahkan kepada pembeli tetapi ia tidak dapat ditentukan
atau tidak jelas sama ada sifatnya, caranya, banyaknya atau lain-lain.
Dalam konteks ini, ulama' berpendapat perkara
ke-3 diatas menunjukkan ada unsur gharar dalam konteks jual beli insurans.
Dalam setiap urusan, Islam sentiasa menekankan kepada prinsip keadilan dan
kebaikan. Unsur gharar menafikan kedua-dua prinsip ini. Mana-mana kontrak jual
beli yang mengandugi amalan atau mengenakan syarat berat sebelah dan kesannya
boleh membawa kerugian kepada sebelah pihak sahaja adalh jual beli gharar.
Misalnya, syarat yang menetapkan luputnya wang pembeli atau pengembalian wang
tidak mengikut kiraan yang adil, sekiranya pembeli terbabit tidak memenuhi
kewajipan, tempoh atau tanggungjawab tertentu seperti membatalkan atau memecahkan
akad sebelum genap tempoh yang dipersetujui. Urusan jual beli seperti ini,
tidak mengambil kira langsung kepentingan keadilan dan kebaikan kepada akid
atau pihak-pihak yang berakad, lebih-lebih lagi pembeli yang menyubangkan wang.
2. Operasi Takaful
Berbeza dengan insurans, operasi takaful sebagai
satu bentuk perniagaan adalah tidak berasas kepada akad jual beli. Dalam
hubungan ini, peserta takaful tidak membeli produk takaful daripada syarikat
takaful dan sebaliknya syarikat takaful tidak menjual produk itu seperti
syarikat-syarikat insurans menjual polisi insurans. Apa pun konsep takaful,
seperti insurans, tetap mementingkan dan menghayati amalan kerjasama,
tolong-menolong, setiakawan atau ringkasnya saling jamin menjamin diantara
mereka.
Umumnya, struktur perjalanan takaful tidak banyak
berbeza dengan insurans. Disatu pihak ada peserta yang melanggani produk
takaful daripada pihak yang menyediakan produk itu, iaitu syarikat takaful.
Kedua-dua pihak ini akan memeteraikan akad. Oleh kerana wang sumbangan dibayar
oleh peserta dengan tujuan untuk menabung dan mendapat untung sambil berniat
untuk membantu rakan peserta yang memerlukan bantuan ketika ditinpa musibah,
maka opersi takaful lebih berbentuk satu usaha pelaburan. Yang demikian wang
sumbangan peserta tidak menjadi hak syarikat. Sedang dibawah jual beli insurans,
wang premium menjadi hak syarikat insurans sebagai balasan pemegang polisi
membeli polisi insurans daripada syarikat berkenaan. Sesuai dengan struktur
operasinya, ulama' memutuskan bahawa akad takaful HARUS berasaskan prinsip
al-Mudharabah atau berkongsi untung dalam perniagaan. Peserta akan berhak
mendapat untung daripada bahagian tabungan atas pulangan pelaburan yang
dijalankan oleh syarikat takaful. Diwaktu yang sama, peserta juga bersetuju menyumbang
sebagai tabarru' (derma) sebahagian daripada sumbangannya dan untung pelaburan keatasnya
bagi tujuan membantu rakan peserta yang ditimpa kesusahan.
3. ASB dan ASN
Hukum melabur dalam ASN dan ASB atau mana-mana
amanah saham adalah berdasarkan kaedah yang sama dengan urusniaga saham. Ia
dianggap halal oleh syara' sekiranya aktiviti-aktiviti amanah saham itu
dilakukan adalah tidak melanggar hukum syara'. Jika mana-mana amanah saham
termasuk ASN dan ASB terlibat dalam aktiviti-aktiviti tidak halal atau syubhah,
maka andalah yang perlu membuat penyelidikan dan keputusan. Ada beberapa amanah
saham yang mengisytiharkan diri mereka pelaburan halal 100%, antaranya
ASDI,ASK, Abrar Trust fund, Tabung Pertama bank Islam bhd, Tabung Ittikal Arab
malaysia, Tabung Ittikal KL Mutual, Tabung ittikal Rasyid Hussin, Tabung Haji;
maka pilihlah salah satu amanah saham tersebut.
Rujukan: Rumusan dari perbahasan di islah-net dan
msm-net pada tahun 1997
0 ulasan:
Post a Comment