SELAMAT DATANG KE LAMAN PANITIA PENDIDIKAN ISLAM DAERAH REMBAU NEGERI SEMBILAN BERSAMA KITA MEMARTABATKAN PENDIDIKAN ISLAM.

TERKINI

|||SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH 1436 DAN SELAMAT TAHUN BARU 2015.|SEMOGA TAHUN 2015 LEBIH CEMERLANG BUKAN SAHAJA CEMERLANG AKADEMIK, TETAPI CEMERLANG AKHLAK DAN SAHSIAH,untuk guru-guru yang ingin mencari bahan P&P dan soalan serta bahan KSSR boleh muat turun dari Bahan Ilmu. Harap Maklum!SELAMAT MENYAMBUT ISRA' MIKRAJ 1436H

02 October 2010

KENAPA SYAABAN TIDAK BEGITU DIRAI

0 ulasan
Oleh : Dr. Badlihisham Mohd Nasir

Kehadiran Syaaban lazimnya tidak disedari oleh ramai umat Islam. Ramai di antara mereka yang tidak sabar lagi menantikan ketibaan Ramadhan justeru telah memasang cita-cita untuk melipatgandakan ibadat pada bulan yang penuh berkat itu. Tidak kurang juga di antara mereka yang mengidamkan kedatangan Syawal justeru ingin berhari raya awal.

Syaaban umumnya tidak begitu dirai dan dihayati oleh umat Islam, kecuali bagi mereka yang benar-benar mengetahui hakikat dan rahsia keistimewaan bulan ini. Kedudukan bulan ini sebagai bulan terakhir umat Islam dibenarkan makan dan minum di siang hari sudah tentunya mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Bahkan, kelebihan bulan ini dapat dilihat daripada sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihan atas kamu.

Rasulullah menerangkan lagi bahawa kelebihan Rejab atas bulan-bulan yang lainnya adalah seperti kelebihan atas segala para nabi. Kelebihan Ramadhan atas bulan-bulan yang lainnya adalah seperti kelebihan Allah atas sekalian makhluk-Nya.

Nabi juga pernah mengingatkan bahawa Syaaban adalah bulan baginda manakala bulan Ramadhan pula adalah umatnya. Kelebihan Syaaban ini juga disokong oleh Saidatina Aishah yang menyatakan bahawa Rasulullah sangat mengasihi bulan Syaaban.

Malam nisfu Syaaban diumpamakan sebagaimana keagungan bulan Rejab dengan malam Israk-Mikrajnya dan kehebatan Ramadhan dengan malam Lailatul Qadarnya.

Pada malam di pertengahan bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), Jibril pernah datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata, angkat kepalamu ke langit, itulah malam yang dibukakan pintu langit. Pada malam ini Allah membukakan pintu rahmat dan keampunannya yang amat luas.

Rasulullah s.a.w. menyeru umatnya supaya melakukan amal ibadat dengan bangun malam dan berpuasa di sebelah siangnya. Dalam satu hadis Qudsi, Allah bertanya-tanya “adakah orang yang meminta ampun, Aku ampunkannya, adakah orang yang ditimpa bala Aku afiatkannya. Adakah orang yang meminta rezeki maka Aku rezekinya”. Demikianlah pertanyaan dari Allah yang tersangat bersifat pengasih lagi amat penyayang terhadap hamba-hamba-Nya sehingga terbit fajar subuh.

Ringkasnya, amal ibadat pada malam itu dijamin mengundang balasan pahala yang besar ganjarannya kerana Nabi Muhammad pernah menyatakan bahawa Allah s.w.t. akan menilik dan meneliti setiap hambanya pada malam berkenaan serta mengampunkan dosa segala makhluknya melainkan mereka yang syirik dan memutuskan silaturrahim dengan saudaranya. Puasa adalah suatu ibadat yang sangat dituntut dilakukan dalam bulan Syaaban. Sesuai dengan kedudukannya sebagai gerbang Ramadhan, bulan ini melatih manusia berpuasa menjelang ketibaan ujian yang berat di bulan Ramadhan nanti.

Justeru, puasa di bulan ini disifatkan yang paling afdal atau baik selepas daripada berpuasa di bulan Ramadhan.

Nabi s.a.w. bersabda, bahawa puasa Syaaban kerana membesarkan Ramadhan, siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Syaaban, kemudian dia berselawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa, maka diampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, lalu diberkatkan rezeki baginya antara lain sabdanya bahawa Allah membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat.

Nabi pernah mengingatkan bahawa siapa yang berpuasa sehari pada bulan Syaaban maka Allah akan mengharamkan tubuhnya daripada api neraka. Dia akan menjadi rakan kepada Nabi Yusuf di dalam syurga.

Dia akan diberi pahala seperti pahala Nabi Allah Ayub dan Nabi Daud. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan dalam bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya sakaratulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripada kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripadanya huru-hara Munkar dan Nankir, ditutup Allah keaibannya di hari akhirat dan diwajibkan syurga baginya.

Pada bulan Syaaban, umat Islam seharusnya turut meninjau beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah umat Islam dalam bulan Syaaban.

Diantaranya ialah peperangan dengan Bani Mustalik pada tahun 6 Hijrah dan perpindahan Kiblat umat Islam daripada Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis ke Kaabah di Mekah pada tahun 2 Hijrah. Kedua-dua peristiwa yang memerlukan usaha jihad tersebut amat besar pengertiannya dalam konteks menonjolkan syiar Islam kepada umat manusia.

Bagi mengembalikan keharmonian bulan Syaaban, ia haruslah disambut dengan penuh keinsafan khususnya dalam mencari keampunan dan keredhaan Ilahi. Kaum Muslimin bukan sahaja perlu berlumba-lumba beribadat bagi mengejar limpahan pahala dan keampunan Allah tetapi juga harus berani berjihad bagi mengembalikan kemuliaan institusi seperti Baitulmaqdis ke tangan umat Islam demi menegakkan dan memelihara ketinggian syiar Islam di bumi ini.

Dipanjangkan oleh;

(YB. DATO' HJ. MOHD MURTADZA BIN HJ. AHMAD)

Mantan Mufti Kerajaan Negeri
Negeri Sembilan Darul Khusus

0 ulasan:

Post a Comment


MARI BERSEMBANG

VIDEO PILIHAN MINGGU INI